biarkan CINTA itu…
Cinta seindah yang diucap
Saya petik kata-kata dari tazkirah ‘Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi’ bahawa semua orang boleh mengaku dan berikrar mencintai Allah, tetapi tindak tanduknyalah yang mencerminkan apakah dia benar-benar mencintaiNya. Sesungguhnya Allah jualah yang mengetahui siapakah antara hamba-hambaNya yang benar-benar mencintaiNya.
Justeru, saya ingin bawakan di sini sebuah cerita yang saya kira benar-benar menguji kecintaan kita pada Allah SWT. Perkongsian ini tidak lain matlamatnya hanyalah untuk kita sama-sama sedar makna cinta yang sebenar-benarnya. Cinta Allah dan cinta manusia. Subhanallah Maha Suci Allah yang menjadikan setiap sesuatu termasuklah cinta sesama manusia. Cerita yang saya garap hasil pendekatan saya terhadap suatu kisah dan saya menggunakan kata ganti diri ‘saya’, mudah-mudahan pembawaan cerita ini lebih dekat dengan kita insya Allah..
Bismillahirrahmanirrahim..
Cinta Allah dan cinta manusia. Pengharapan saya hanya satu iaitu untuk menjadi ‘couple islamik’ atau cinta manusia berlandaskan batas syariat yang saya pegang selama ini. Itu doa saya setiap masa agar dipertemukan dengan insan yang bergelar kekasih hati yang akan mengambil saya sebagai teman sehidup semati. Alhamdulillah doa saya Allah kabulkan akhirnya. Berkenalan dengan insan yang saya kira sudah menghampiri nilai-nilai kesempurnaan yang saya hitung dalam doa saya setiap kali sujud terakhir dalam solat, membuahkan rasa sayang antara kami. Proses perkenalan berjalan lancar dan kami kini dalam alam yang lain. Alam percintaan dan seboleh-bolehnya saya dan dia mahu menjaga segala-galanya kerana kami sedar redha Allah paling penting. Namun dalam tidak sedar kami juga seperti pasangan bercinta yang lain, sedikit sebanyak apa yang kami pertahankan runtuh perlahan-lahan. Walaupun hanya perbualan telefon dan sms yang menghubungkan kami, bisikan syaitan itu tetap datang. Apabila dua manusia berlainan jantina berdua-duaan, akan ada pihak ketiga yakni syaitan, musuh ketat agama. Kami cuba sedaya upaya untuk menjaga hubungan ini dengan ilmu agama yang ada dalam jiwa. Dari sehari ke sehari, kami berusaha sungguh-sungguh agar batasan agama tidak kami langgar. Ada masa kami gagal juga…
Kuasa Allah Maha Hebat. Perancangan Allah mentakdirkan segala-galanya. Hubungan yang terjalin akhirnya sampai ke penghujung. Entah di mana silapnya, saya menerima kata putus dari si dia. Dia putuskan hubungan ini. Keputusannya muktamad. Tuhan yang maha mengetahui betapa terkilannya saya. Masakan ini penyudah hubungan kami. Tidak ada sedikit pun masalah antara kami, malahan kami saling menyayangi. Apa puncanya sehinggakan dia mengambil keputusan ni. Dia katakan pada saya, dia bukan lelaki soleh. Dia jauh dari rahmat Allah. Itu alasannya. Alasan yang tidak masuk akal tidak munasabah pada saya. Saya menerima dirinya seadanya sepanjang perkenalan kami. Kekurangannya saya anggap sebagai satu kelemahan kerana saya sedar tidak ada manusia pun yang sempurna dalam dunia ini. Betapa kecewanya saya. Berkali-kali saya bertanyakan pada diri sendiri, apa dosa saya sehinggakan saya terpaksa menerima semua ni. Kenapa saya harus menerima saja segala keputusan. Hati saya tersangat parah. Jiwa saya menangis. Di saat saya benar-benar menyayangi dirinya, Allah uji pula dengan dugaan sebegini besar.
Saya masih keliru dengan alasan yang dia berikan. Saya kumpul kekuatan bersemuka dengannya, dengan harapan saya jelas dengan keputusan yang dia buat terhadap hubungan kami. Katanya, “Saya terpaksa mengambil keputusan ni. Hormatilah keputusan saya. Saya terpaksa korbankan sayang saya pada awak. Sebab saya nak bersihkan hati saya. Hati saya kotor. Saya sangat berharap awak faham. Saya akan jadi ketua keluarga, saya nak jadi yang terbaik sebab saya yang akan jaga anak-anak dan jaga awak. Saya nak teruskan hubungan kita tapi saya tak mampu nak jaga hubungan ni sebaik mungkin. Awak pun jelas dengan keadaan tu. Kadang-kadang nafsu mengatasi kita. Saya takut Allah tak redha. Jangan terlalu ikutkan perasaan. Berjumpa dengan ibu bapa awak pun, tidak akan menyelesaikan masalah. Ada banyak lagi kekangan yang menghalang kita menghalalkan hubungan ni. Fahamilah awak, terima ni sebagai suatu ujian. Jangan bersedih. Kesedihan tu disebabkan syaitan. Fikirkan apa yang berlaku ni untuk jangka masa yang panjang. Jangan fikir untuk masa sekarang. Beri saya peluang untuk membuang segala yang kotor dalam hati saya ni. Walau perit sekalipun, saya nak awak redha. Ini ujian Allah. Allah uji kita dengan cinta. Kecil sangat ujian ni. Kasih mana pun kita pada manusia, akan pergi juga dari kita. Saya tak pernah buang awak dan kalau ada jodoh kita pasti akan bersama. Kalau ada jodoh saya tetap akan cari awak. Percaya pada Allah, kalau ada jodoh kita pasti bersatu juga..”
Andai ini ujian Allah, sungguh amat berat untuk saya terima. Dan seandainya ini dugaan Allah, tidak ada bezanya berlaku sekarang atau pada masa depan. Saya cuba faham Kenapa keputusan ni dia ambil. Dia ingin mencari keredhaan Allah. Saya jelas tentang itu tetapi saya manusia biasa, ada masa-masa tertentu saya berasakan ini tidak adil untuk saya pikul seorang diri terutama apabila fikiran saya diasak dengan ingatan padanya. Sungguh saya merinduinya. Saya pujuk diri sendiri. Saya katakan pada diri, ini ujian Allah. Sehari semalam saya berendam air mata. Biarkan saya bersedih sepuas-puasnya hari ini kerana esok saya nak bangun tanpa bayangan dia. Saya berdoa selalu ujian kali ini akan datang hikmah yang besar Allah nak bagi. Tanpa sedar, masih ada lagi setangkup harapan agar kami bersatu satu hari nanti dalam suasana Allah redha. Hati saya berkata, saya akan tunggu dia sehingga satu hari yang saya sendiri tak pasti. Saya bukanlah sehebat Saidina Fatimah yang menunggu Ali Karamullah Wajhah. Bila saya terlalu letih menunggu, saya akan berhenti berharap. Harapan ini saya gantungkan pada Allah kerana saya yakin Dia lah yang mengetahui segala-galanya. Andai dia bukan jodoh terbaik untuk saya seperti yang Allah catatkan di Luh Mahfuz, saya berdoa agar Allah beri saya petunjuk.
Saya doakan dia sentiasa bahagia. Saya minta Allah beri cinta dan sayangNya pada dia kerana saya tahu Dialah sebaik-baik penjaga. Semoga matlamatnya tercapai… Saya bangga mengenali insan seperti dia yang tahu setakat mana batasan cinta manusia dan cinta Allah. Dia mengibarkan bendera Islam dan dalam masa yang sama berusaha membangunkan Islam. Biarkanlah cinta yang pernah wujud itu bermuara dengan sendirinya…di saat yang tepat..dengan seseorang yang tepat..dan pilihan yang tepat..hanya dari Allah SWT di saat dihalalkannya dua manusia untuk bersatu dalam ikatan pernikahan yang barakah…

September 17th, 2007 at 7:05 pm
di saat yang tepat..dengan seseorang yang tepat..dan pilihan yang tepat..hanya dari Allah SWT di saat dihalalkannya dua manusia untuk bersatu dalam ikatan pernikahan yang barakah…
sabenarnya bila ALLAH menguji hambaNYA makna ALLAH ingin mengajar dia, dan sesungguhnya ALLAH mengasihi hambaNYA itu.
sekarang saya boleh bagitahu sebenarnya anti semakin kuat dan semakin tambah keimanan kepada ALLAH bukan? anti nilailah… insyaALLAH berakahnya akan sentiasa bersama anti…